PKS perlu manfaatkan AI tingkat produktiviti, daya saing global

Foto RTM

KUALA LUMPUR 4 November – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya saing dan membuka peluang menembusi pasaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI membantu analisis pasaran, memahami tingkah laku pelanggan, meningkatkan kecekapan operasi dan menyediakan perkhidmatan lebih sesuai.
  • Penggunaan AI mesti disertai strategi perniagaan jelas, pembangunan kemahiran tenaga kerja dan peningkatan kemampuan menghasilkan produk bernilai tinggi.
  • Produktiviti buruh meningkat 3.4% pada 2025; RMK13 sasarkan pertumbuhan tahunan 3.6% dan produktiviti setiap pekerja RM122,745 pada 2030.
  • Pelaksanaan AI perlu bertanggungjawab dengan tenaga kerja berkemahiran untuk menilai maklumat, membuat keputusan dan melaksanakan strategi perniagaan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata perkembangan teknologi yang pesat, selain ketidaktentuan geopolitik dan perubahan corak perdagangan global, menuntut syarikat tempatan memanfaatkan AI untuk meningkatkan keupayaan bersaing.

“AI berupaya membantu perniagaan menganalisis pasaran dengan lebih pantas, memahami tingkah laku pengguna secara mendalam, meningkatkan kecekapan operasi serta menyediakan perkhidmatan yang lebih bersesuaian dengan keperluan pelanggan,” ujarnya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemasaran Dunia (World Marketing Summit Malaysia 2026) disini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan AI perlu disertai dengan strategi perniagaan yang jelas, pembangunan kemahiran tenaga kerja serta keupayaan menghasilkan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.

“Kedudukan pasaran yang jelas membantu sesebuah syarikat mengelakkan persaingan yang hanya berteraskan penawaran harga rendah atau diskaun.

Pemahaman yang lebih mendalam terhadap pelanggan pula membolehkan syarikat meningkatkan mutu produk, perkhidmatan serta pengalaman pelanggan,”katanya

Beliau turut berkata penggunaan teknologi itu juga perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dengan sokongan tenaga kerja berkemahiran untuk menilai maklumat, membuat keputusan dan melaksanakan strategi perniagaan dengan berkesan.

Dalam pada itu, beliau berkata produktiviti buruh Malaysia mencatat pertumbuhan 3.4 peratus pada 2025 berbanding 2.4 peratus pada tahun sebelumnya, manakala produktiviti mengikut jam bekerja meningkat 3.7 peratus.

Katanya, pencapaian itu perlu diperkukuh menerusi peralihan kepada aktiviti ekonomi bernilai tinggi yang berteraskan pengetahuan, bakat, teknologi, kualiti dan inovasi.

Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 menyasarkan pertumbuhan produktiviti buruh purata tahunan sebanyak 3.6 peratus, dengan nilai produktiviti setiap pekerja disasarkan mencecah RM122,745 menjelang 2030.

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.