BELIA MAHIR gesa industri tawar gaji setimpal kepada graduan TVET

Gambar hiasan / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November – Industri digesa menawarkan gaji setimpal dengan kemahiran dan kelayakan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperluas peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 400,000 graduan TVET merupakan tenaga kerja berpotensi menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negara.
  • Industri perlu mengiktiraf graduan TVET dengan menawarkan gaji setimpal mengikut kemahiran, kelayakan dan kompetensi.
  • Majikan digalakkan sediakan pengangkutan, penginapan, laluan kerjaya dan peluang peningkatan kemahiran untuk menarik graduan tempatan.
  • BELIA MAHIR gesa kerajaan, MITI dan MIDA perkukuh pemantauan amalan pengambilan pekerja serta pembayaran gaji.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan industri terhadap pekerja asing, selain meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan dalam sektor berkemahiran.

“Lebih 400,000 graduan TVET merupakan kumpulan tenaga kerja berpotensi yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negara.

Industri perlu memberi pengiktirafan sewajarnya kepada graduan TVET, termasuk melalui penawaran gaji yang setimpal dengan kemahiran, kelayakan dan kompetensi mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, majikan juga digalakkan menyediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan serta menawarkan laluan kerjaya dan peluang peningkatan kemahiran bagi menarik lebih ramai graduan tempatan.

Menurutnya, kerjasama erat antara pemain industri dengan institusi TVET penting bagi memastikan latihan yang diberikan memenuhi keperluan sebenar pasaran pekerjaan.

Sehubungan itu, BELIA MAHIR menggesa kerajaan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperkukuh pemantauan terhadap amalan pengambilan pekerja dan pembayaran gaji.

Mohammad Rizan yang juga Ahli Majlis TVET Negara berkata, usaha memperkasa bakat tempatan perlu menjadi keutamaan industri bagi melahirkan tenaga kerja mahir, meningkatkan produktiviti serta menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.