
KUALA LUMPUR, 4 November – Malaysia Aviation Group (MAG) menghimpunkan 200 sukarelawan bagi menyantuni 255 penghuni di tiga pusat jagaan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunannya.
- Aktiviti sukarelawan termasuk pembersihan, berkebun, mengecat mural dan program bersama penghuni untuk menceriakan serta mengeratkan hubungan komuniti.
- Di Rumah Kanak-Kanak Mini Cheras, MAG menubuhkan perpustakaan mini menggunakan permaidani pesawat terpakai.
- MAG menyumbang majalah Malaysia Airlines Going Places untuk menggalakkan minat membaca kanak-kanak.
- Penyertaan kakitangan dari pengurusan hingga barisan hadapan mencerminkan komitmen MAG dalam membantu komuniti dan memperbaiki kemudahan.
MAG dalam kenyataan memaklumkan, program itu melibatkan 170 warga emas di Rumah Seri Kenangan Cheras serta 85 kanak-kanak dari Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli Cheras dan Rumah Kanak-Kanak Mini Cheras.
Antara aktiviti dijalankan termasuk kerja pembersihan, berkebun, mengecat mural dan aktiviti bersama penghuni bagi menceriakan persekitaran pusat jagaan serta mengeratkan hubungan dengan komuniti.
Di Rumah Kanak-Kanak Mini Cheras, MAG turut menyediakan perpustakaan mini menggunakan permaidani terpakai daripada pesawat.
Syarikat itu juga menyumbangkan majalah penerbangan Malaysia Airlines, Going Places, bagi menggalakkan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, penyertaan warga kerja daripada peringkat pengurusan hingga kakitangan barisan hadapan mencerminkan komitmen kumpulan itu dalam membantu komuniti setempat.
“Melalui kerjasama dengan JKM, kami berhasrat membawa perubahan positif di pusat jagaan ini, bukan sahaja melalui penambahbaikan kemudahan, malah dengan mewujudkan ruang untuk membina hubungan mesra, pembelajaran bersama dan persekitaran yang menyokong kesejahteraan penghuni,” katanya.
Program itu merupakan sebahagian daripada komitmen CSR MAG yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu kemanusiaan, alam sekitar dan pendidikan.