
KUALA LUMPUR, 21 Januari -Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
- JSJK terima 45 laporan berkaitan dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan, termasuk laporan daripada FAM.
- Siasatan fokus pada elemen penipuan dan pemalsuan dokumen di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
- Dua individu dikenal pasti dipercayai terlibat; usaha mengesan dan mengesahkan identiti mereka sedang giat dijalankan.
Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan berkata, setakat ini polis menerima 45 laporan berkaitan kes berkenaan termasuk satu laporan daripada FAM, selain merakam percakapan 43 saksi melibatkan FAM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan orang awam bagi melengkapkan siasatan.
Siasatan awal mendapati proses pemberian kewarganegaraan secara penaturalisasian kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya itu dilaksanakan secara teratur serta mematuhi prosedur dan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Namun, siasatan seterusnya memberi tumpuan kepada elemen penipuan dan pemalsuan dokumen bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, khususnya ketika proses pendaftaran dan pengemukaan dokumen pemain kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya menerusi kenyataan itu.
Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda.
Polis turut mengenal pasti penglibatan dua individu yang dipercayai terlibat dalam pemalsuan dokumen berkaitan dan usaha mengesan serta mengesahkan identiti sebenar mereka sedang giat dijalankan.
PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus serta berintegriti demi menjamin keadilan tanpa melindungi mana-mana pihak.