Polis panggil dua pegawai kanan China Press, bantu siasatan

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 21 Januari -Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap satu hantaran di Facebook rasmi China Press yang didakwa memaparkan penterjemahan salah titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis membuka kertas siasatan terhadap hantaran Facebook China Press yang didakwa salah terjemah titah Yang di-Pertuan Agong.
  • Dua pegawai kanan China Press hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Datuk M. Kumar dalam kenyataan berkata, dua pegawai kanan China Press iaitu Ketua Editor dan Sub Editor hadir memberi keterangan sekitar pukul 1.00 tengah hari tadi, bagi membantu siasatan berhubung hantaran tersebut.

“PDRM menegaskan siasatan masih berjalan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengelirukan keadaan, sementara siasatan dilengkapkan mengikut lunas undang-undang,” katanya menerusi kenyataan itu.

Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Bukit Aman.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.