Cubaan seludup petrol ke negara jiran gagal, dua wanita Thailand ditahan

Turut dirampas kedua-dua kenderaan beserta petrol, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,574. Foto KPDN Kedah

PADANG TERAP, 28 April – Cubaan menyeludup petrol ke Thailand menggunakan dua kenderaan tempatan yang diubah suai dengan tangki tambahan berjaya digagalkan dalam Op Tiris 4.0 (Bersepadu) di Durian Burung, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua pemandu wanita warga Thailand ditahan selepas pemeriksaan kenderaan di sekatan jalan raya.
  • Setiap kenderaan mempunyai tangki tambahan mengandungi anggaran 100 liter cecair disyaki petrol.
  • Kedua-dua kenderaan dan petrol dirampas; nilai rampasan dianggarkan RM15,574.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; KPDN memberi amaran keras dan seru sokongan gerakan KITA GEMPUR.

Menerusi operasi tersebut, dua pemandu wanita warga Thailand berusia 32 dan 41 tahun ditahan selepas kenderaan yang dipandu mereka diperiksa di sekatan jalan raya Durian Burung, berhadapan Balai Polis Kota Putra, Padang Terap, Kedah.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, kedua-dua kereta bernombor pendaftaran tempatan itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika menghala ke sempadan Malaysia-Thailand.

Pemeriksaan lanjut mendapati setiap kenderaan dilengkapi tangki tambahan yang mengandungi cecair disyaki petrol.

“Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap kenderaan tersebut mendapati ada tangki tambahan yang mengandungi cecair disyaki minyak petrol dalam anggaran 100 liter bagi setiap kenderaan.

“Sehubungan dengan itu, kedua-dua pemandu yang berusia 32 tahun dan 41 tahun ditahan serta kenderaan mereka disita untuk siasatan lanjut,” menurut kenyataan tersebut.

Turut dirampas kedua-dua kenderaan beserta petrol, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,574.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Dalam kenyataan sama, KPDN Kedah memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan menyeleweng subsidi negara, sama ada dilakukan individu atau sindiket, merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan paling tegas akan diambil tanpa sebarang toleransi terhadap pihak yang terlibat.

KPDN Kedah turut menyeru pengguna, peniaga, pemain industri dan mana-mana organisasi agar bersama-sama menyokong gerakan KITA GEMPUR (Gerakan Membasmi Manipulasi dan Ketirisan) dalam usaha membanteras manipulasi serta ketirisan subsidi demi kepentingan bersama.