SPRM tahan pegawai polis, disyaki lindungi premis hiburan tidak sah

SPRM Pahang menahan reman suspek kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM64,000

KUANTAN, 28 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang pegawai kanan polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM64,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suapan dipercayai sebagai balasan melindungi kegiatan pusat hiburan tidak sah di salah satu daerah di Pahang.
  • Perintah reman lima hari dikeluarkan Majistret Ellyna Mahussin sehingga 2 Mei selepas permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan.
  • Suspek ditahan di kediamannya pada 2.00 petang semalam.
  • Siasatan awal mendapati perbuatan berlaku antara 2020 hingga 2023; suapan diterima bulanan melalui pemindahan ke akaun peribadi.

Suapan itu dipercayai sebagai balasan melindungi kegiatan pusat hiburan tidak sah di salah satu daerah di Pahang.

Perintah reman selama lima hari sehingga 2 Mei ini dikeluarkan Majistret Ellyna Mahussin, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.

Suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan pada 2.00 petang semalam di kediamannya.

Siasatan awal mendapati, suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2023 sewaktu bertugas di salah satu daerah di negeri ini.

Suspek dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan daripada dua pemilik pusat hiburan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud mengesahkan penahanan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.