KPWKM peruntuk RM1.4 juta bantu mangsa kebakaran Sandakan


Kebakaran yang berlaku pada 19 April telah menjejaskan lebih 9,000 penduduk dan memusnahkan lebih 1,000 rumah. / Foto BERNAMA

SANDAKAN, 28 April – Lebih RM1.4 juta diperuntukkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membantu mangsa kebakaran Kampung Bahagia di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPWKM memperuntukkan lebih RM1.4 juta bagi membantu mangsa kebakaran Kampung Bahagia di Sandakan.
  • RM900,000 disalur untuk makanan dan minuman kepada hampir 2,000 mangsa di lapan PPS; selebihnya untuk sumbangan tunai dan barangan.
  • Menteri jumpa Ketua Menteri Sabah serahkan cek RM200,000, barang RM205,000; JKM dan LPPKN sediakan kaunseling serta sokongan emosi.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, RM900,000 daripada keseluruhan peruntukan itu disalur untuk penyediaan makanan dan minuman kepada hampir 2,000 mangsa di lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi tempoh 19 April hingga 2 Mei.

Manakala lebih setengah juta ringgit, bagi sumbangan tunai dan barangan keperluan.

“Saya akan berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan menyerahkan sumbangan cek berjumlah RM200,000 serta barangan bernilai RM205,000,” katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa kebakaran di PPS Dewan Warga Tua Sri Harapan di sini.

Jelas beliau lagi, pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah bertujuan menyelaras bantuan kepada mangsa bagi memastikan kelancaran penyaluran dan mengelak sebarang pertindihan.

KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan emosi kepada mangsa.

Kebakaran yang berlaku pada 19 April telah menjejaskan lebih 9,000 penduduk dan memusnahkan lebih 1,000 rumah.