
BUKIT KAYU HITAM, 28 April – Cubaan membawa masuk sembilan tan makanan haiwan tanpa permit sah berjaya dipatahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
- AKPS Bukit Kayu Hitam menggagalkan cubaan membawa masuk makanan haiwan tanpa permit sah selepas pemeriksaan fizikal konsainan.
- AKPS juga merampas pelbagai barangan makanan tanpa dokumen sah dan pelabelan tidak mematuhi Akta Makanan 1983.
- AKPS memperketat kawalan, tidak akan berkompromi dan mengingatkan orang awam serta pengimport mendapatkan permit sah.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusof berkata, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan fizikal menyeluruh ke atas sebuah konsainan yang diisytiharkan oleh ejen sebagai makanan haiwan milik sebuah syarikat.
“Pemeriksaan mendapati barangan terbabit adalah makanan haiwan jenis Monas Ocean Fish Flavour, namun gagal mengemukakan permit sah seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebanyak 450 beg makanan haiwan dengan berat keseluruhan 9,000 kilogram dan bernilai RM30,358 disita.
Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Dalam operasi berasingan, AKPS turut merampas pelbagai jenis barangan makanan yang tidak mempunyai dokumen sah daripada pihak berkuasa, selain tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Akta Makanan 1983.
SAC Fauzi berkata, AKPS akan terus memperketat kawalan dan pemeriksaan bagi memastikan semua kemasukan barangan ke dalam negara mematuhi peraturan yang berkuat kuasa.
“AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba membawa masuk barangan tanpa permit sah dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan biosekuriti negara sentiasa terpelihara,” tegasnya.
Orang awam dan pengimport diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan serta mendapatkan permit sah sebelum membawa masuk sebarang barangan ke dalam negara.