
KOTA TINGGI, 28 April – Seramai 13 warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan, ditahan dalam operasi bersepadu membanteras kegiatan penyeludupan migran di sekitar Pantai Sungai Rengit dan Felda Air Tawar 1, awal pagi semalam.
- Operasi bersepadu dijalankan malam 26 hingga awal pagi 27 April, melibatkan polis IPD Kota Tinggi dan ATM Rejimen Ke-10 RAMD.
- Pemeriksaan mendapati suspek tidak dapat mengemukakan dokumen perjalanan sah untuk tinggal di Malaysia.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dengan hukuman penjara dan denda.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Yusof Othman, berkata operasi dijalankan antara 11.45 malam 26 April hingga 4 pagi 27 April, melibatkan sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada Rejimen Ke-10 Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Majidee.
Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Sungai Rengit, Pengerang susulan maklumat berhubung aktiviti pemerdagangan migran.
“Hasil serbuan, polis menahan 11 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki baharu tiba dari negara jiran.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis kemudian menahan dua lagi warga Indonesia serta seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan migran di dua lokasi berasingan.
Kesemua suspek dan rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Jika sabit kesalahan, kesalahan di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM250,000, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, serta boleh dikenakan sebatan tidak melebihi enam kali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan migran diminta tampil menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline IPD Kota Tinggi di talian 07-8831222.