Bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah tuduhan memberi dokumen palsu

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 April – Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu berkaitan projek kepada sebuah bank, pada 2012.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa memberi dokumen palsu kepada Penolong Pengurus Bahagian Teknikal Servis, ejen Bank Pembangunan Malaysia Berhad, dengan niat menipu prinsipalnya.
  • Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
  • Mahkamah benarkan ikat jamin RM20,000 dua penjamin; arahan lapor diri SPRM Putrajaya setiap dua bulan; sebutan 29 Jun 2026.

Wong Chee Keong, 73, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Menurut pertuduhan, Wong sebagai bekas Pengarah syarikat Silver Ridge Sdn Bhd didakwa memberi dokumen palsu kepada Penolong Pengurus Bahagian Teknikal Servis yang merupakan ejen Bank Pembangunan Malaysia Berhad dengan niat memperdayakan prinsipalnya dalam sebuah projek.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hafizuddin Salehuddin dan Siti Sarah Khalil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin serta mengarahkan beliau melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sekali setiap dua bulan.

Mahkamah menetapkan 29 Jun 2026 untuk sebutan semula kes.