MCMC panggil individu bantu siasatan kandungan jelik terhadap Sultan Selangor

FOTO MCMC

CYBERJAYA, 27 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama rapat dengan Royal Malaysia Police dalam menjalankan siasatan berhubung kes memuat naik kandungan jelik melampau berunsur 3R terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC telah mengambil rakaman percakapan pentadbir akaun Facebook 'HuaYan The Pureland Learning Centre' untuk membantu siasatan.
  • MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik terhadap Institusi Diraja yang boleh menjejaskan keyakinan awam dan keharmonian masyarakat.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun.
  • PDRM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan; tindakan tegas akan diambil.

Menurut MCMC, pihaknya telah mengambil rakaman percakapan seorang individu yang merupakan pentadbir akaun Facebook ‘HuaYan The Pureland Learning Centre’ bagi membantu siasatan.

“MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap Institusi Diraja kerana boleh menjejaskan keyakinan awam serta keharmonian dan ketenteraman masyarakat.”

Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam masa sama, PDRM turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala Seksyen 504 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda atau dipenjarakan selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab.

“Sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah, khususnya melibatkan Institusi Diraja, akan dikenakan tindakan tegas menurut undang-undang,” menurut MCMC.

Tegas MCMC lagi, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan sedia ada.