
SUNGAI PETANI, 27 April – Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah akan menyediakan khidmat guaman percuma kepada seorang penjawat awam wanita yang cedera parah hingga mengalami keguguran akibat dipukul suaminya, Khamis lalu.
- Dua firma guaman, Aizat & Shakir Co dan Adnan Seman, bersetuju memberi bantuan guaman secara percuma kepada mangsa.
- Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Shahanim Mohd Yusof, memaklumkan perkara tersebut kepada pemberita.
- Keluarga mangsa menyifatkan suspek kejam; mangsa didakwa dipukul dengan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu.
- Suspek dipercayai melarikan barang kemas dan wang simpanan kira-kira RM50,000; perkahwinan di Thailand belum didaftarkan.
Perkara itu dimaklumkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Shahanim Mohd Yusof yang berkata, pihaknya telah mendapatkan kerjasama dua firma guaman bagi membantu mangsa tanpa sebarang bayaran.
“Kita sudah mendapatkan dua peguam, iaitu Aizat & Shakir Co serta Adnan Seman yang bersetuju memberi bantuan guaman percuma,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Ibu Tunggal Jati Waja Sungai Petani turut menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap suspek yang didakwa melakukan keganasan tersebut.
Shahanim yang juga penasihat persatuan itu berkata, perbuatan suspek tidak boleh dipandang ringan memandangkan lelaki berkenaan pernah dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun atas kesalahan mencederakan isteri terdahulu hingga koma.
Menurutnya, mangsa kini mengalami trauma serius selain kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk di kedua-dua belah, patah tulang belakang serta keguguran kandungan.
“Mangsa dipukul, ditendang dan dipijak selain turut diugut. Ini tahap keganasan yang sangat serius. Persoalannya, mengapa individu sama masih bebas sehingga kejadian berulang dan belum ditangkap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani, Kuala Muda, Kedah bagi menggesa siasatan lebih terperinci dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan memaklumkan polis sedang giat mengesan suspek.
Menurutnya, suspek dipercayai telah melarikan diri dan berkemungkinan sudah keluar dari daerah Kuala Muda. Kejadian dilaporkan berlaku di kediaman mangsa di Ambangan Heights, di sini.
Ahli keluarga mangsa menyifatkan suspek sebagai seorang yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Mangsa didakwa dipukul menggunakan beberapa objek termasuk penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir serta batang penyapu hingga patah. Suspek turut dipercayai melarikan barang kemas dan wang simpanan berjumlah kira-kira RM50,000 selepas kejadian.
Pasangan itu dilaporkan berkahwin di Thailand pada Disember tahun lalu, namun perkahwinan berkenaan masih belum didaftarkan di negara ini.
Abang mangsa berusia 45 tahun berharap suspek berumur 43 tahun yang masih bebas dapat segera ditahan dan dihadapkan ke muka pengadilan.
