Polis siasat pemilik akaun media sosial hina Sultan Selangor

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar. /Foto BERNAMA

Kuala Lumpur, 27 April – Siasatan terhadap satu hantaran gambar yang didakwa berunsur penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang dimuat naik melalui akaun Facebook Huayan The Pureland Learning Centre pada 25 April lalu sedang dalam siasatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • Pemilik atau pentadbir akaun telah dikenal pasti; peranti yang digunakan dirampas untuk siasatan lanjut.
  • Siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama MCMC.
  • 21 laporan polis diterima; 21 saksi dipanggil; orang ramai diingatkan had kebebasan bersuara di bawah Perkara 10.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata, kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut beliau, pemilik atau pentadbir akaun terbabit telah dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk merampas peranti yang digunakan bagi tujuan memuat naik hantaran tersebut.

“Proses siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).”

“Setakat ini, sebanyak 21 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berhubung isu sama. Seramai 21 saksi, termasuk individu yang tampil membuat laporan, telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya.

Datuk Kumar berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial untuk tujuan menyalahi undang-undang, khususnya yang menyentuh isu sensitif 3R (raja, agama, kaum).

“Kebebasan bersuara bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mempunyai had, justeru orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam mahupun media sosial,” katanya.

Semalam, beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor meminta PDRM dan MCMC mengambil tindakan tegas terhadap hantaran yang menghina Sultan Selangor.