Bot karam di Pulau Pangkor: Polis buka kertas siasatan kes seludup PATI Indonesia

23 individu warga Indonesia ditahan

MANJUNG, 12 Mei Polis membuka kertas siasatan berhubung kes penyeludupan migran melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) susulan insiden bot karam di perairan Pulau Pangkor pada Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maklumat diterima kira-kira pukul 2.35 petang selepas dimaklumkan oleh Pasukan Polis Marin.
  • Seramai 23 individu warga Indonesia ditahan, terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita.
  • Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung untuk tindakan lanjut.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; hubungi IPD Manjung 05-6886222 atau WhatsApp 017-6828005.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.35 petang selepas dimaklumkan oleh Pasukan Polis Marin.

Menurut beliau, seramai 23 individu warga Indonesia terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau hotline WhatsApp 017-6828005.