Dua beradik ditemukan lemas di Sungai Jeram Pasar

Mayat dua beradik dibawa naik oleh pasukan penyelamat / Foto RTM

KUALA NERUS, 12 Mei – Kegembiraan empat rakan melakukan aktiviti mandi-manda bertukar tragedi apabila dua beradik perempuan ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Jeram Pasar, Kampung Jeram Hulu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat Nur Afiqah, 15, dan Nur Shahila, 12, ditemukan oleh Pasukan Penyelamat di Air pada jam 6 petang.
  • Kedua-dua ditemui di dasar sungai kira-kira empat meter dalam, 20 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.
  • Operasi pencarian melibatkan dua selaman; mayat berjaya ditemukan pada selaman kedua menurut JBPM Terengganu.
  • Dua rakan diselamatkan dan dirawat di Unit Kecemasan HoSZA; seorang berkata air sungai naik secara tiba-tiba.

Mayat mangsa, Nur Afiqah Shahirah Mohd Shawalluddin, 15 tahun, dan adiknya, Nur Shahila Shahirah Azman, 12 tahun, ditemukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada jam 6 petang.

Kedua-dua mangsa ditemui di dasar sungai pada kedalaman kira-kira empat meter, dengan jarak 20 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

Pegawai Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba II Baharum Muhamad Hasim berkata, operasi pencarian melibatkan dua selaman sebelum kedua-dua mayat berjaya ditemukan dalam selaman kedua.

“Mangsa ditemukan berhampiran antara satu sama lain di dasar sungai. Alhamdulillah, operasi selesai sepenuhnya sejurus selepas penemuan tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, aktiviti mandi-manda empat remaja berkenaan bertukar cemas apabila seorang daripada mereka, Noor Shaqira Abdul Fatah, 12, tiba-tiba dihanyutkan arus.

Dua beradik berkenaan dilaporkan cuba menyelamatkan rakan mereka, namun mereka turut dihanyutkan arus deras manakala dua lagi mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Salah seorang mangsa yang terselamat, Nurul Ain Fatihah Mohd Zamri, 12, menceritakan bahawa air sungai naik secara tiba-tiba ketika mereka sedang mandi.

Mangsa yang terselamat menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Mayat kedua-dua beradik itu telah dibawa ke Unit Forensik HoSZA untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada ahli keluarga bagi urusan pengebumian.