Bot PATI karam: Empat mayat ditemukan di perairan Pulau Pangkor

Antara mayat mangsa bot karam yang ditemukan pasukan SAR di perairan Pulau Pangkor hari ini /RTM

MANJUNG, 12 Mei- Empat mayat ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini susulan kejadian bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia di perairan Pulau Pangkor pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat ditemukan terapung oleh Pasukan Polis Marin kira-kira 13 batu nautika dari Pulau Talang.
  • Operasi SAR memasuki hari kedua dan usaha pencarian masih diteruskan bagi mengesan baki mangsa.
  • Radius pencarian diperluas kepada 151 batu nautika persegi dari lokasi dipercayai karam, kira-kira 8.2 batu nautika barat laut Pulau Pangkor.
  • Operasi disokong aset Pasukan Polis Marin dan TLDM bagi mengesan baki 10 mangsa; mayat dibawa ke Hospital Seri Manjung.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Mohamad Shukri Khotob berkata kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan terapung oleh Pasukan Polis Marin (PPM) pada kedudukan kira-kira 13 batu nautika dari Pulau Talang.

Beliau berkata SAR memasuki hari kedua dengan usaha pencarian masih diteruskan bagi mengesan baki mangsa yang belum ditemukan.

“Empat mayat yang ditemukan ini dipercayai terdiri daripada tiga wanita dan seorang lelaki. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini memasuki hari kedua selepas dimulakan sejak pagi semalam (Isnin) dan ditangguhkan pada sebelah petang.

“Pada petang semalam (Isnin), pasukan hanya berjaya menemukan tiga beg yang dipercayai milik mangsa lemas,” katanya dalam satu taklimat operasi di sini hari ini.

Menurut beliau, radius pencarian telah diperluaskan meliputi kawasan seluas 151 batu nautika persegi dari lokasi bot dipercayai karam iaitu kira-kira 8.2 batu nautika barat laut Pulau Pangkor.

Operasi SAR turut disokong aset Pasukan Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mengesan baki 10 mangsa yang masih hilang.

Kesemua mayat telah dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian awal pagi Isnin, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warganegara Indonesia dilaporkan tenggelam di perairan Pulau Pangkor dengan 23 mangsa berjaya diselamatkan.