JKDM tumpas cubaan seludup 701 telefon bimbit, bernilai RM716,184

Foto RTM

AYER KEROH, 29 September – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka menumpaskan cubaan menyeludup 701 unit telefon bimbit diperbaharui pelbagai model iPhone di Pelabuhan Klang, Selangor, 23 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Telefon berkenaan dipercayai untuk dibawa keluar negara; dianggarkan bernilai RM716,184 termasuk duti dan cukai.
  • Telefon disimpan dalam beberapa kotak dibalut plastik hitam dan disembunyikan di bahagian dalam sebuah bot barter trade.
  • Seramai 11 anak kapal bukan warganegara dan seorang ejen penghantaran tempatan ditahan untuk membantu siasatan.
  • JKDM turut merampas 870,000 batang rokok bernilai RM811,180; jumlah rampasan kedua-dua kes hampir RM1.53 juta.

Pengarah JKDM Melaka, Roslan Yusoff berkata, kesemua telefon berkenaan dipercayai untuk dibawa keluar negara dan dianggarkan bernilai RM716,184 termasuk duti dan cukai.

“Pemeriksaan mendapati telefon berkenaan disimpan dalam beberapa kotak yang dibalut plastik hitam sebelum disembunyikan di bahagian dalam sebuah bot barter trade.

“Bot milik negara jiran itu tiba pada 22 Julai dengan membawa muatan sayur-sayuran dan dijadualkan pulang tanpa membawa sebarang dagangan, selain 250 kotak kosong.

“Seramai 11 anak kapal bukan warganegara Malaysia berusia antara 34 hingga 61 tahun ditahan bagi membantu siasatan,”katanya pada sidang media di Wisma B, Bangunan Penguatkuasaan JKDM Melaka, Ayer Keroh, hari ini.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang mewakili syarikat ejen penghantaran dan bertanggungjawab menguruskan dokumen pengikraran.

Roslan berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada modus operandi berkenaan merupakan kes pertama atau telah dilakukan beberapa kali sebelum ini.

“Telefon berkenaan sepatutnya diikrar kepada JKDM di bawah kod tarif 8517.13.000 dan tertakluk kepada cukai lima peratus serta permit Jabatan Alam Sekitar kerana dikategorikan sebagai barangan terpakai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam perkembangan sama, JKDM Melaka turut merampas 870,000 batang rokok di Kuala Lipis, Pahang, yang dianggarkan bernilai RM811,180 termasuk duti dan cukai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Kedua-dua kes berkenaan menjadikan keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai hampir RM1.53 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.