
BUKIT KAYU HITAM, 12 Mei- Sebanyak 6,280 kilogram tepung bernilai lebih RM50,000 yang dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini tanpa dokumen sah berjaya dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam pada Isnin.
- Pemeriksaan imbasan sinar-x mendedahkan ketidakselarasan pada muatan lori, membawa kepada pemeriksaan lanjut.
- Pemeriksaan lanjut menemui dagangan tidak diikrarkan disembunyikan di sebalik barangan yang diikrarkan dalam dokumen kastam.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967, AKPS akan memperketat kawalan dan ambil tindakan tegas.
Rampasan dilakukan di Bay Pemeriksaan Import, Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, membabitkan sebuah lori bernombor pendaftaran Thailand.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Fauzi Mohd Yusof berkata kejayaan itu hasil pemeriksaan yang dijalankan selepas imej imbasan mesin sinar-x (x-ray) menunjukkan ketidakselarasan pada muatan lori berkenaan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dagangan tidak diikrarkan yang disembunyikan di sebalik barangan yang telah diikrarkan dalam dokumen kastam.
Dagangan berkenaan melibatkan sebanyak 314 beg tepung dengan anggaran berat keseluruhan 6,280 kilogram, dengan nilai anggaran kasar rampasan sebanyak RM50,240.
Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar berkaitan dagangan yang dibawa masuk ke negara ini.
Menurut beliau, AKPS akan terus memperketat kawalan di pintu masuk negara bagi memastikan setiap dagangan yang dibawa masuk mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan, selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelak cukai atau membuat pengikraran palsu.