227 produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM13.4 juta dirampas

Foto Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kedah

ALOR SETAR, 27 Januari – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah merampas 227 produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM13.4 juta hasil pemeriksaan ke atas 11 premis di sekitar negeri itu, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKN Kedah merampas 227 produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM13.4 juta hasil pemeriksaan 11 premis.
  • Produk dikesan mengandungi bahan terlarang termasuk steroid dan allopurinol yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952.
  • Pihak berkuasa merampas peranti dan mesin pengilangan serta mengingatkan peniaga dan orang ramai semak pendaftaran NPRA.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Nor’Aishah Abu Bakar berkata, tindakan penguatkuasaan diambil selepas pemeriksaan mendapati produk kesihatan yang dijual disyaki mengandungi racun berjadual.

Beliau berkata menerusi kenyataan hari ini, perbuatan berkenaan melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.

Menurut Dr Nor’Aishah, produk yang dirampas dikenal pasti sebagai ubat tradisional Cina keluaran tempatan yang mengandungi bahan terlarang seperti steroid, allopurinol serta bahan lain yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952.

Selain produk kesihatan, pihaknya turut merampas tiga peranti digital dan tiga mesin pengilangan yang dipercayai digunakan dalam proses pengeluaran produk berkenaan.

Kesalahan yang dikesan melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Dr Nor’Aishah mengingatkan peniaga, pengedar serta penyedia platform e-dagang supaya hanya mengendalikan produk kesihatan yang berdaftar dan mempunyai pelekat keselamatan hologram.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyemak status pendaftaran produk kesihatan melalui laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan penjualan produk kesihatan yang meragukan kepada pihak berkuasa berkaitan.