
PELABUHAN KLANG, 28 Januari –Lima kontena membawa sisa buangan terjadual dan sampah industri disita Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam pemeriksaan di Gudang CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, semalam.
- AKPS sita lima kontena mengandungi sisa terjadual dan sampah industri dalam pemeriksaan di Pelabuhan Klang Barat.
- Kontena mengandungi sisa elektronik kod SW110, kabel hancur kod SW422, dan satu kontena tidak direkodkan dalam sistem kastam.
- Siasatan mendapati kemasukan bermula 2024 hingga 2026, berat kira-kira 125 tan, disiasat di bawah Akta Kastam dan Akta Kualiti Alam Sekeliling.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan sekitar pukul 10.30 pagi itu mendapati kesemua kontena mengandungi bahan buangan yang dilarang dibawa masuk ke negara ini.
“Dua kontena dikenal pasti mengandungi buangan terjadual kod SW110 melibatkan barangan elektronik terpakai seperti komputer, pencetak dan unit pemprosesan pusat (CPU) yang telah dihancurkan.
Dua lagi kontena membawa buangan terjadual kod SW422 iaitu kabel wayar yang dihancurkan, manakala sebuah kontena mengandungi sampah industri atau komersial,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati dagangan tersebut dibawa masuk sejak 2024 hingga 2026.
Kemasukan terbaharu direkodkan pada 24 Januari lalu menggunakan pengikraran dagangan palsu.
AKPS turut mengesan satu kontena tidak direkodkan dalam sistem kastam, menunjukkan ia tidak diikrar untuk memasuki negara ini.
Jumlah keseluruhan berat dagangan dianggarkan sekitar 125 tan, melibatkan negara pengeksport Amerika Syarikat, Sepanyol, Korea dan Taiwan.
Kes disiasat bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967, manakala kemasukan buangan terjadual adalah dilarang mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.