IPOH, 13 Ogos- Seramai lima individu dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron ke dalam Penjara Tapah, Jumaat lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kesemua mereka terdiri daripada pegawai penjara termasuk anggota yang bertugas sebagai penjaga rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan pos pengawal.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu.
"Kita sedang siasat siapa yang terlibat mengirim dron itu dari luar dan siapa pula yang menerima bungkusan itu dari dalam penjara.
"Setakat ini, kita masih belum boleh mengagak pihak mana yang terlibat namun kita percaya kegiatan itu mungkin melibatkan sindiket," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Jumaat lalu, seorang sarjan penjara menemui sebuah dron berwarna putih di atas bumbung Blok Aman Penjara Tapah ketika membuat rondaan sekitar pukul 11.30 pagi.
Hasil pemeriksaan menemukan satu beg dobi yang digantung pada dron terbabit berisi tiga peket plastik serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin seberat 122 gram dan dua peket plastik berisi ketulan kristal disyaki methamphetamine dengan anggaran berat 12.9 gram.