fb fb fb fb fb

Pengurus kilang warga Bangladesh ditahan gaji PATI

FOTO JIM

KUALA LUMPUR, 14 Disember- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai pengurus sebuah kilang jahit dalam Operasi Khas di Cheras pada Rabu lepas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan operasi yang bermula pada pukul 9.15 malam itu turut menahan 34 lelaki warga Bangladesh dan 15 wanita warga Myanmar yang dipercayai bekerja secara tidak sah di premis tersebut.

Operasi melibatkan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), hasil risikan selama dua minggu.

"Hasil pemeriksaan mendapati kilang ini telah menggaji warga asing tanpa dokumen sah, selain menemui 40 kad perakam waktu dan peralatan menjahit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Premis yang dipercayai beroperasi selama dua tahun itu menggunakan pekerja asing sebagai tukang jahit dengan mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 60 tahun.

Zakaria berkata pengurus syarikat berusia 46 tahun itu disiasat bawah Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa izin (PATI).

Kesemua pekerja asing turut disiasat bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil.

SITI AISHAH MD ISA