fb fb fb fb fb

KDN fokus siasatan GISBH libat empat akta

Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA, 30 September- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memfokuskan siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap salah laku syarikat GISB Holdings (GISBH) berdasarkan empat akta termasuk Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa agensi bawah KDN termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Kimia terlibat secara keseluruhan untuk memastikan siasatan berjalan lancar.

"Setakat ini, kita telah membuka 80 kertas siasatan yang melibatkan empat akta iaitu Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Kanun Keseksaan.

"Proses untuk melengkapkan dan menyempurnakan kertas siasatan ini mengambil masa sebelum diserahkan kepada AGC untuk keputusan sama ada pendakwaan akan diteruskan atau tidak," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Beliau berkata seramai 1,226 pegawai dan anggota termasuk daripada PDRM, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (MCMC) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terlibat dalam proses siasatan dan tindakan dalam menanggani kes itu.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin memaklumkan Kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di New York semalam jelas menggambarkan ketegasan dan ketekalan Malaysia terhadap pelbagai isu sejagat termasuk keadilan buat Palestin.

"Kenyataan Tok Mad (Mohamad) ini mewakili seluruh isi kenyataan kerajaan. Ya - ini adalah pendirian kita (Malaysia).

"Kita tahu isu antarabangsa ini sangat dinamik, tapi yang paling penting adalah ketegasan dan konsistensi kita dalam memanfaatkan forum di peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) seperti yang disampaikan Tok Mad," katanya.

Pada perhimpunan UNGA itu, Malaysia secara lantang telah menyuarakan pendirian tegas berhubung beberapa perkara seperti kuasa veto, Islamofobia dan Palestin.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA