
KUALA LUMPUR, 17 April – Organisasi media di Malaysia dan Indonesia digesa agar memperkukuh naratif harmoni dalam pelaporan isu penyelesaian sempadan darat sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) serta mengelakkan kandungan yang boleh mencetuskan salah faham.
- Media perlu utamakan sumber rasmi kedua-dua negara dan lapor secara seimbang, berhemah serta berteraskan konteks.
- Rundingan penandaan dan pengukuran di OBP bukan berdasarkan prinsip timbal balik, pampasan atau pertimbangan untung rugi.
- ISWAMI gesa taklimat khas kerajaan kepada media supaya fakta jelas, tepat dan selari serta mengelakkan kekeliruan dan spekulasi.
Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia–Indonesia (ISWAMI) Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan dalam kenyataan bersama menegaskan bahawa pelaporan media perlu mengutamakan sumber rasmi kedua-dua negara di samping mengamalkan pendekatan yang berimbang, berhemah dan berteraskan konteks dalam setiap liputan.
Mereka turut menjelaskan bahawa rundingan berkaitan penandaan dan pengukuran di kawasan “Outstanding Boundary Problem (OBP)” tidak berasaskan prinsip timbal balik, pampasan atau pertimbangan untung rugi.
“Media perlu berperanan sebagai jambatan persefahaman yang mengukuhkan hubungan dua hala, bukan menjadi pencetus salah faham. Laporan yang tidak tepat, tidak seimbang atau bersifat spekulatif hanya akan menjejaskan hubungan baik yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan oleh Sekretariat ISWAMI hari ini.
Sehubungan itu, ISWAMI menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan kedua-dua negara akan terus mengutamakan diplomasi berteraskan semangat muhibah, hormat-menghormati dan setiakawan dalam menangani isu tersebut.
Bagi memastikan fakta yang disampaikan adalah tepat dan selaras, ISWAMI turut menyarankan agar kerajaan Malaysia dan Indonesia menyediakan taklimat khas kepada pengamal media.
“Ia bagi memastikan fakta yang jelas, tepat dan selaras dapat disampaikan kepada rakyat, sekali gus mengelakkan kekeliruan serta spekulasi tidak berasas.
“ISWAMI turut menegaskan peranan media amat penting dalam memastikan isu sensitif seperti sempadan negara dilaporkan secara bertanggungjawab, dengan mengutamakan sumber sahih serta pelaporan yang berimbang, demi kepentingan bersama dan kestabilan serantau,” jelas kenyataan itu.