
KUALA LUMPUR, 17 April – Pendekatan lebih menyeluruh perlu dipergiat, termasuk mempelbagaikan sumber tenaga bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber sahaja.
- Kerajaan memantau ketidaktentuan geopolitik untuk menyalurkan sokongan tepat kepada industri yang terjejas.
- Banyak syarikat pelajari kepentingan kepelbagaian sumber tenaga serta cabaran memastikan tenaga mampan dan mampu milik.
- Program BUDI seperti BUDI95 dan peningkatan BUDI Agri-Komoditi serta Diesel memberi manfaat kepada petani dan pemilik kenderaan diesel.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, kerajaan juga sedang melaksanakan pemantauan.
Perkara tersebut bagi memastikan sokongan sewajarnya dapat disalurkan kepada industri yang terjejas, agar langkah intervensi dapat dilaksanakan dengan tepat dan berkesan.
“Saya melihat perkara ini telah memberi pengajaran kepada banyak syarikat tentang kepentingan kepelbagaian sumber tenaga supaya tidak terlalu bergantung kepada satu sumber sahaja.
“Dalam masa sama, kita perlu memastikan tenaga yang digunakan bukan sahaja mampan, tetapi juga mampu milik. Ini merupakan antara cabaran utama yang dihadapi oleh kebanyakan syarikat.
“Sudah tentu, peranan kerajaan amat penting dalam memastikan insentif serta dasar yang tepat disediakan bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara khas menerusi ‘Insight with Haslinda Amin’.
Dalam pada itu pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada harga RM1.99 memanfaatkan hampir 90 peratus rakyat yang layak.
Selain itu BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut dinaikkan sebanyak RM100 daripada RM300 kepada RM400 sebulan bermula April 2026.
Bantuan itu akan disalurkan pada 21 April ini dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 petani serta pekebun kecil, selain kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung.