
KUALA LUMPUR, 18 April– Radio Televisyen Malaysia (RTM) melakar kejayaan luar biasa apabila menyapu bersih kategori Anugerah Penerbitan Audio Visual Terbaik pada Anugerah Media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kali ke-6 2026, malam tadi.
- Mazlina Baharom dan Laurendra Fiona Benard Baikan menang tempat pertama menerusi Bicara Naratif: Reformasi Perkhidmatan Awam dan CPI.
- Nur Fatihah Ab Rahim raih tempat kedua dengan laporan "Perangi Rasuah Bukan Retorik, Dilaksana Menerusi Pembaharuan Struktur".
- Nursharina Izlyn Azmi mendapat tempat ketiga menerusi laporan "Indeks Persepsi Rasuah: Cabaran Buat SPRM".
- Anugerah disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki; Md Shahri anggap kemenangan hadiah istimewa ulang tahun ke-80 RTM.
Dominasi mutlak itu menyaksikan RTM membolot ketiga-tiga kedudukan teratas, sekali gus membuktikan komitmen agensi penyiaran awam tersebut dalam memperkasakan naratif integriti dan pencegahan rasuah di negara ini.
Tempat pertama dimenangi oleh penerbit program, Mazlina Baharom dan Laurendra Fiona Benard Baikan menerusi rancangan Bicara Naratif: Reformasi Perkhidmatan Awam dan Kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Bagi tempat kedua dirangkul oleh wartawan, Nur Fatihah Ab Rahim menerusi laporan khas bertajuk ‘Perangi Rasuah Bukan Retorik, Dilaksana Menerusi Pembaharuan Struktur’, diikuti Nursharina Izlyn Azmi di tempat ketiga dengan laporan bertajuk ‘Indeks Persepsi Rasuah: Cabaran Buat SPRM Capai Kedudukan Terbaik Negara’.
Anugerah berprestij tersebut telah disampaikan sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dengan kehadiran Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan.
Sementara itu, Md Shahri menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hadiah istimewa sempena ulang tahun ke-80 RTM.
“Saya berharap RTM akan terus meraih lebih banyak kejayaan dalam pelbagai anugerah pada masa akan datang,” katanya.
Bagi Laurendra Fiona, beliau menyifatkan pengiktirafan tersebut memberi impak yang besar dan signifikan sekiranya kandungan tersebut mencetuskan perbincangan mengenai kepentingan akauntabiliti.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya menjadi tanggungjawab untuk terus mengangkat naratif akauntabiliti selaras dengan aspirasi kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Fatihah berkata laporan tersebut bukan hanya hasil usaha individu, sebaliknya merupakan kerjasama pasukan termasuk jurukamera, editor dan editor visual.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada warga RTM, khususnya Bahagian Berita Ehwal Semasa,” katanya.
Bagi Nursharina Izlyn, beliau menzahirkan rasa syukur memenangi tempat ketiga kategori Anugerah Penerbitan Audio Visual Terbaik pada Anugerah Media SPRM kali ini.
“Saya berharap generasi akan datang terus menghasilkan karya berkualiti, sahih dan selari dengan keperluan semasa,” katanya.