Selat Hormuz dibuka sepenuhnya dalam tempoh gencatan senjata

Foto fail AFP

TEHRAN, 17 April – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, mengumumkan pada Jumaat bahawa laluan strategik Selat Hormuz kekal dibuka sepenuhnya selagi gencatan senjata di Asia Barat berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua kapal komersial dibenarkan melalui Selat Hormuz sepanjang tempoh gencatan senjata.
  • Kenyataan pengumuman dimuat naik melalui platform media sosial X.
  • Tidak pasti sama ada ia merujuk gencatan 10 hari Lubnan-Israel atau gencatan dua minggu antara Iran dan Amerika Syarikat.
  • Presiden AS Donald Trump menyambut baik pengumuman itu di Truth Social dengan kenyataan "Terima kasih!"

Beliau berkata laluan bagi semua kapal komersial melalui selat berkenaan dibenarkan sepenuhnya sepanjang tempoh gencatan senjata.

“Laluan bagi semua kapal komersial melalui Selat Hormuz diisytiharkan dibuka sepenuhnya sepanjang tempoh gencatan senjata,” katanya.

Kenyataan itu dimuat naik menerusi platform media sosial X.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan tersebut merujuk kepada gencatan senjata selama 10 hari antara Lubnan dan Israel yang sedang berkuat kuasa, atau gencatan senjata terdahulu selama dua minggu antara Iran dan Amerika Syarikat yang bermula pada 8 April lalu.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan tentera Iran memaklumkan hanya kapal awam dibenarkan melalui laluan yang ditetapkan serta dengan kebenaran tentera laut Pengawal Revolusi Iran.

“Laluan kapal tentera melalui Selat Hormuz masih dilarang,” kata pegawai itu.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyambut baik pengumuman Iran bahawa laluan penting Selat Hormuz akan dibuka kepada perkapalan sepanjang tempoh gencatan senjata.

“Terima kasih!” katanya menerusi platform Truth Social.

Bagaimanapun Trump menegaskan sekatan tentera laut terhadap Iran akan terus berkuat kuasa sepenuhnya sehingga urusan dengan negara itu dimuktamadkan sepenuhnya.

Harga minyak dunia yang sebelum ini melonjak susulan gangguan bekalan, dilaporkan menjunam selepas pengumuman Iran untuk membuka semula Selat Hormuz.-AFP