
KUALA LUMPUR, 17 April – Pengurusan Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd mengakui wujud perbincangan dalaman mengenai kemungkinan berlaku perubahan struktur pasukan itu, namun enggan mengulas lanjut sehingga keputusan rasmi dicapai oleh kepimpinan tertinggi kelab.
- Segala keputusan hala tuju TFC tertakluk kepada pertimbangan presiden dan ahli lembaga pengarah.
- COO menegaskan tiada ulasan lanjut sehingga keputusan rasmi dimuktamadkan.
- Pasukan diarahkan kekal fokus untuk baki empat perlawanan Liga Super dan mengekalkan momentum.
- Sebarang penstrukturan diharapkan dilakukan secara berhemat bagi memastikan kelangsungan TFC dan kestabilan kewangan.
Ketua Pegawai Operasi (COO) TFC Sdn Bhd, Mohd Syahrizan Mohd Zain, memaklumkan bahawa segala keputusan berkaitan hala tuju skuad Penyu itu tertakluk sepenuhnya kepada pertimbangan presiden dan ahli lembaga pengarah.
“Memang ada ura-ura mengenai penstrukturan semula TFC, namun buat masa ini kita belum memuktamadkan sebarang keputusan.
“Oleh itu, saya tidak boleh mengulas lebih mendalam mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya 2026 di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd Syahrizan menegaskan agar pasukan kekal memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mengharungi baki empat perlawanan Liga Super 2025/2026 yang masih berbaki.
Katanya, momentum pasukan perlu dikekalkan selepas berjaya mencatatkan keputusan seri ketika menentang gergasi liga, Johor Darul Ta’zim (JDT), baru-baru ini.
Berdasarkan jadual, TFC bakal berdepan cabaran Negeri Sembilan FC dan Sabah FC dalam misi menamatkan saingan musim ini pada kedudukan terbaik.
Beliau turut menzahirkan harapan agar sebarang keputusan berkaitan penstrukturan semula itu kelak akan dilakukan secara berhemat demi memastikan kelangsungan TFC dalam kancah bola sepak domestik tidak terjejas.
Isu masa depan TFC kini menjadi tumpuan ramai peminat sukan tanah air memandangkan saingan liga semakin menghampiri penghujungnya, selain timbulnya spekulasi mengenai kedudukan kewangan kelab tersebut.