JOHOR BAHRU, 20 Ogos - Dua beradik pemungut hutang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki, dua tahun lalu.
K. Karunakaran, 26, dan abangnya, K. Kgangatharan, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa melakukan pemerasan sehingga mendatangkan ketakutan terhadap mangsa bagi memaksa lelaki itu menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Bandar Putra Kulai pada pukul 12.30 tengah malam, 17 September 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Faizal Lisam Abidin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nor Afiqah Hambali.
Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dengan syarat tambahan ditetapkan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 September depan.