Sunday, 26 June 2022
updated 5:27 PM UTC, Jun 26, 2022

WARGA EMAS

  • Dos penggalak: Warga emas boleh 'walk in' ke PPV mulai Rabu ini

    PUTRAJAYA, 17 Januari - Pelaksanaan vaksinasi dos penggalak COVID-19 secara jumpa terus untuk warga emas bermula Rabu ini yang akan beroperasi setiap hari kecuali cuti umum di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang.

    Kementerian Kesihatan dalam kenyataan hari ini menyebut empat PPV tersebut ialah PPV World Trade Centre dan PPV Axiata Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, serta PPV Ideal Convention Centre di Shah Alam dan PPV Integrasi di Dewan Soka Gakkai, Klang di Selangor.

    Menurut kenyataan itu lagi, kesemua PPV beroperasi bermula 2 petang hingga 8 malam, kecuali PPV Dewan Soka Gokkai yang beroperasi dari 12 tengah hari hingga 4 petang.

    Sehingga semalam, liputan vaksinasi dos penggalak bagi warga emas, iaitu individu berumur 60 tahun dan ke atas, di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak telah mencapai lebih 70 peratus.

    “Untuk makluman, warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang telah menerima dos lengkap selepas tempoh tiga bulan daripada dos terakhir, adalah layak untuk menerima dos penggalak.

    “Warga emas yang ingin hadir secara ‘walk-in’ adalah dimohon agar mempunyai sijil vaksinasi digital yang lengkap di dalam MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, kenyataan itu menyatakan PPV ‘Offsite’ di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak juga, akan melaksanakan perkhidmatan vaksinasi secara jumpa terus kepada warga emas mulai 24 Januari ini.

    Senarai lengkap PPV ‘Offsite’ yang terlibat akan diumumkan pihak ProtectHealth Corporation.

    Dalam pada itu, KKM dalam kenyataan sama menyatakan buat masa ini, janji temu di PPV Integrasi di Lembah Klang diberikan kepada individu yang telah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Sinovac, untuk diberikan dos penggalak vaksin AstraZeneca.

    Bermula Rabu ini juga, vaksin Pfizer akan dibekalkan di PPV tersebut, khusus bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang telah menerima janji temu atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.