fb fb fb fb fb

Bekas juruteknik didenda RM2,500, kes tipu di KLIA

Bekas juruteknik sebuah syarikat penerbangan tempatan didenda RM2,500

KUALA LUMPUR, 16 Januari- Seorang warga emas didenda sebanyak RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Bekas juruteknik sebuah syarikat penerbangan tempatan itu dituduh menipu seorang lelaki untuk memberikannya sejumlah wang kononnya beg bagasi miliknya ditahan di Lapangan Terbang Kuala lumpur (KLIA) pada Julai tahun lepas.

Majistret Amalina Basirah Md Top mengenakan hukuman itu selepas tertuduh, Raja Shahyan Raja Abdullah, 82, mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Amalina turut mengarahkan agar tertuduh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, bekas juruteknik sebuah syarikat penerbangan tempatan itu didakwa telah menipu mangsa, Abdul Khadar Ahmad Ali, 59, bahawa beg bagasinya telah ditahan di KLIA sehingga mendorong mangsa untuk menyerahkan wang berjumlah RM2,700 yang mana mangsa tidak akan berbuat demikian jika tidak diperdayakan oleh tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Ampang, Selangor antara pukul 1.40 petang pada 19 Julai 2023 sehingga pukul 3.39 petang pada 24 Julai tahun yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI