Pahang sasar tingkat kutipan hasil, komited banteras penerokaan haram

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR, 16 Mac– Kerajaan Negeri Pahang menegaskan komitmen tinggi untuk meningkatkan kutipan hasil negeri melalui pelaksanaan penguatkuasaan yang lebih ketat.

RINGKASAN BERITA AI
  • UPNP dipertingkat untuk memantau dan mengambil tindakan perundangan terhadap penerokaan sumber secara haram.
  • Pasukan khas ditubuhkan, pelaku tidak lagi hanya dikenakan kompaun, sebaliknya akan diheret ke mahkamah.
  • Program Baucar Raya 'Moh Balik Negeri Pahang' beri RM100 kepada 10,000 anak Pahang melalui e-dompet PahangGo, peruntukan RM1 juta.

Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tindakan tegas tersebut dipergiat menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), yang bertanggungjawab memantau serta mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang aktiviti penerokaan sumber secara haram.

“Kita telah menubuhkan satu pasukan khas untuk memastikan tindakan serta-merta diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak sah ini. Malah, kita tidak lagi sekadar mengenakan kompaun, sebaliknya pelaku akan diheret ke mahkamah.”

“Langkah ini diambil bukan bertujuan mengaibkan mana-mana individu, tetapi sebagai pengajaran tegas bahawa hasil mahsul dan khazanah negeri tidak boleh diterokai secara haram,” kata Datuk Seri Wan Rosdy kepada pemberita, malam tadi (15 Mac).

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Baucar Raya ‘Moh Balik Negeri Pahang’ di Stadium Titiwangsa, di sini.

Dalam program tersebut, seramai 10,000 anak Pahang yang menetap di perantauan menerima baucar bernilai RM100 setiap seorang.

Inisiatif yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 juta itu disalurkan melalui aplikasi e-dompet PahangGo bagi memudahkan pembelian barangan keperluan.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya, inisiatif itu merupakan usaha berterusan kerajaan negeri bagi meringankan beban serta membantu anak-anak Pahang di perantauan pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman.