KDN teliti pengunaan pistol renjatan elektrik untuk AKPS

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan kerja dengan meninjau pengoperasian Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini / Foto BERNAMA

SEPANG, 5 Mei – Cadangan penggunaan pistol renjatan elektrik sedang diteliti Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai langkah awal dalam melengkapkan keperluan persenjataan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dasar dipersetujui untuk menyediakan persenjataan kepada AKPS bagi memperkukuh kawalan sempadan.
  • AKPS memerlukan anggota berkemahiran kerana tugas berisiko tinggi.
  • AKPS dibenarkan merekrut sehingga 200 veteran ATM; fasa pertama 50 anggota akan ditempatkan di pintu masuk utama, termasuk KLIA dan Pelabuhan Klang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan dasar telah dipersetujui bagi menyediakan kemudahan persenjataan kepada agensi berkenaan, dengan pelaksanaannya dijangka dalam masa terdekat.

“Terdapat pandangan supaya dimulakan dengan penggunaan taser gun sebab di sempadan mungkin tidak semuanya memerlukan penggunaan senjata api,” katanya dalam sidang media selepas meninjau pengoperasian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, AKPS perlu dilengkapkan dengan persenjataan bersesuaian bagi memperkukuh kawalan sempadan, memandangkan tugas agensi itu berisiko tinggi dan memerlukan anggota berkemahiran.

Dalam perkembangan berkaitan, AKPS turut dibenarkan merekrut sehingga 200 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah inisiatif Pengawal Sempadan Malaysia tahun ini.

Katanya, pengambilan fasa pertama melibatkan 50 anggota telah selesai, manakala selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kesemua anggota berkenaan akan ditempatkan di beberapa pintu masuk utama negara termasuk KLIA dan Pelabuhan Klang.