
SEPANG, 5 Mei – Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) di pintu masuk negara dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh kawalan sempadan.
- Proses pemeriksaan penumpang dipercepatkan kepada hanya empat hingga lima saat.
- Pelepasan dilakukan melalui pengecaman wajah, kod QR dan pasport.
- Lebih 60 lorong autogate disediakan di KLIA Terminal 1 untuk mengurangkan kesesakan.
- Keselamatan kekal keutamaan melalui pemeriksaan bagasi, pemprofilan risiko dan penguatkuasaan berasaskan risikan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada September ini mampu mempercepat proses pemeriksaan penumpang kepada hanya empat hingga lima saat.
Menurut beliau, sistem baharu itu menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) dan dilaksanakan secara berperingkat.
Ia membolehkan pelepasan penumpang dilakukan melalui tiga kaedah utama iaitu pengecaman wajah, penggunaan kod QR dan pasport.
“Sistem ini akan mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, sama ada bagi pelepasan mahupun ketibaan. Ia merupakan satu pengubah keadaan.
“Saya berpuas hati dengan prestasi semasa, termasuk penggunaan sistem ‘out of gate’ yang akan menggantikan sistem lama secara berperingkat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan kerja dengan meninjau pengoperasian Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan aspek keselamatan kekal menjadi keutamaan, khususnya dalam pemeriksaan bagasi bagi memastikan tiada kemasukan barangan terlarang seperti dadah dan senjata.
Pelaksanaan sistem tersebut telah dimulakan di KLIA Terminal 1 dengan lebih 60 lorong autogate disediakan bagi meningkatkan kecekapan pergerakan penumpang.
Operasi pemeriksaan kini dilaksanakan secara lebih sistematik berasaskan dua prinsip utama iaitu saringan dan pengisihan, selain pendekatan pemprofilan risiko serta penguatkuasaan berasaskan risikan yang memberi tumpuan kepada penumpang berisiko tinggi.
Selain itu, laluan berasingan “Nothing to Declare” dan “Goods to Declare” turut diperkenalkan bagi mempercepat aliran penumpang tanpa menjejaskan pematuhan undang-undang.