
MEKAH, 5 Mei- Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan manfaat perlindungan TH Khairat berjumlah RM48,000 kepada waris jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Mekah, Jumaat lalu.
- Allahyarham Mohamad Nor Sulaiman merupakan jemaah haji Malaysia pertama meninggal dunia musim haji 1447 Hijrah.
- Allahyarham rebah semasa solat Jumaat dan disahkan meninggal di hospital akibat komplikasi jantung.
- Tabung Haji ziarah waris, adakan tahlil, akan melaksanakan badal haji dan beri sokongan emosi serta kebajikan berterusan.
Allahyarham Mohamad Nor Sulaiman, 65, dari Desa Teratai, Muadzam Shah, Pahang merupakan jemaah haji Malaysia pertama yang meninggal dunia bagi musim haji 1447 Hijrah.
Allahyarham dilaporkan rebah ketika berada di dataran Masjidil Haram semasa menunaikan solat Jumaat sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Jiwar Jabal Omar akibat komplikasi jantung.
“Allahyarham mencarum dua polisi perlindungan di bawah skim TH Khairat dengan jumlah caruman sebanyak RM48 setahun untuk manfaat khairat berjumlah RM24,000.
“Manfaat tersebut digandakan kepada RM48,000 sebagai keistimewaan yang dkhususkan kepada jemaah haji,” menurut TH dalam kenyaaan hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada anak allahyarham, Muhammad Syakir pada satu sesi ziarah oleh delegasi TH yang diketuai Pengarah TH negeri Pahang, Rosdi Dollah.
Ziarah berkenaan turut diisi dengan bacaan tahlil dan sokongan moral kepada ahli keluarga allahyarham.
“TH akan melaksanakan badal haji bagi pihak allahyarham pada musim haji kali ini dan komited untuk terus memperkukuh kebajikan jemaah haji Malaysia secara menyeluruh, termasuk memastikan waris menerima sokongan berterusan daripada segi emosi, kebajikan dan manfaat perlindungan,” menurut kenyataan.