
KUALA TERENGGANU, 5 Mei – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus mempergiat usaha mengembalikan kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa utama negara.
- Perluas promosi ke pasaran baharu dan tambah penganjuran acara pelancongan untuk menarik lebih ramai pengunjung.
- Tumpuan kepada pasaran kurang terjejas konflik seperti Korea Selatan, Jepun, China, Australia dan negara ASEAN.
- Galakkan penggunaan penerbangan terus ke Langkawi dan usaha menambah laluan langsung dari destinasi antarabangsa.
- Bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Kedah bagi memperbanyak program pelancongan di Langkawi dan seluruh negeri.
Pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan termasuk memperluas promosi ke pasaran baharu serta menambah penganjuran acara pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung.
Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, usaha berkenaan bertujuan menarik semula kehadiran pelancong antarabangsa terus ke pulau peranginan itu.
Menurut beliau, MOTAC turut memberi tumpuan kepada pasaran yang kurang terjejas oleh konflik global seperti Korea Selatan, Jepun, China, Australia serta negara-negara ASEAN.
“Di samping menggalakkan pelancong tempatan, kita juga menggalakkan pelancong luar menggunakan penerbangan terus ke Langkawi. Contohnya dari Poland, masih terdapat penerbangan terus ke Langkawi, dan kita sedang berusaha menambah lebih banyak laluan dari destinasi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan dan Naik Taraf Kampung Budaya di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu.
Tambahnya, MOTAC turut merancang untuk mengalihkan peruntukan promosi daripada negara yang terjejas akibat peperangan kepada pasaran pelancongan berpotensi tinggi.
Dalam masa sama, MOTAC akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Kedah bagi memperbanyakkan program pelancongan di Langkawi serta di seluruh negeri itu.
Langkah bersepadu tersebut dilihat mampu merancakkan semula sektor pelancongan di pulau legenda berkenaan sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan global.