
KUALA LUMPUR, 6 Mei– Reaksi teruja dan gembira menyelubungi peminat bola sepak tempatan susulan pengumuman Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi bagi temasya Piala Dunia FIFA 2026.
- Peminat gembira lega tidak perlu melanggan perkhidmatan berbayar untuk menonton Piala Dunia.
- RTMKlik percuma memudahkan tontonan menerusi telefon pintar tanpa mengira lokasi.
- Kerajaan MADANI komited beri liputan inklusif dan bekerjasama dengan swasta untuk tingkatkan kualiti serta capaian.
Bagi seorang peminat, Aslinda, inisiatif tersebut memberikan kelegaan buat dirinya kerana tidak perlu melanggan perkhidmatan berbayar tambahan semata-mata untuk mengikuti perkembangan kejohanan berprestij dunia itu.
“Alhamdulillah, baguslah. Sebelum ini kalau hendak menonton memang kena berbayar, tetapi selepas ini sudah boleh tonton di RTM. Ia sangat memudahkan. Jika kita balik ke kampung pun masih boleh menonton, tidaklah terhad di Kuala Lumpur sahaja,” katanya.
Sementara itu, Abdul Wafiy pula bercadang untuk memanfaatkan aplikasi RTMKlik sepenuhnya bagi memudahkan akses tontonan tanpa mengira lokasi.
“Saya gembira sebab bagi peminat tegar bola sepak seperti saya, lebih mudah untuk menonton menerusi RTMKlik kerana ia percuma. Apabila ada di RTMKlik, saya boleh tonton hanya menggunakan telefon pintar, jadi aksesnya jauh lebih mudah selepas ini,” jelas Abdul Wafiy.
Bagi Arif Haikal Abdul Rashid pula pengumuman itu membolehkan beliau menyaksikan setiap perlawanan dengan lebih selesa di kediaman sendiri.
“Lagi bagus begitu, selepas ini boleh tonton secara percuma sahaja. Tidak perlulah lagi ke kedai mamak semata-mata untuk menonton bola,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan bahawa penyiaran kejohanan tersebut adalah selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan liputan yang inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat.
Tambah beliau, langkah itu turut melibatkan kerjasama strategik dengan sektor swasta bagi memperkukuh kualiti siaran serta memperluas capaian penonton.