Datuk Karim umum berehat teraju MA, Datuk Wan Hisham pangku tugas

Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim (tengah duduk) dan Timbalan Presiden MA, Datuk Wan Hisham Wan Salleh (dua dari kiri)/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Mei– Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim mengumumkan keputusan untuk berehat daripada menerajui badan induk sukan tersebut bermula esok sehingga Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang dijadualkan pada Jun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah diambil untuk memberi laluan kepada pindaan perlembagaan MA supaya selaras dengan ketetapan badan induk Olahraga Dunia WA.
  • Timbalan Presiden Datuk Wan Hisham Wan Salleh memikul tanggungjawab penuh terhadap pentadbiran serta tugas dan fungsi eksekutif MA.
  • Cadangan pindaan perlu dikemukakan kepada WA untuk penelitian terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan PJS.
  • Keputusan dibuat demi kepentingan masa depan olahraga negara, memastikan penjajaran tadbir urus telus dan pematuhan kepada perlembagaan.

Beliau menjelaskan bahawa langkah itu diambil bagi memberi laluan kepada proses pindaan perlembagaan MA supaya selaras dengan ketetapan yang ditetapkan oleh badan induk dunia, Olahraga Dunia (WA).

Sepanjang tempoh berkenaan, segala tugas dan fungsi eksekutif beliau akan dipangku oleh Timbalan Presiden MA, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

“Saya akan bercuti daripada menjalankan tugas dan tidak akan terlibat dalam pengurusan harian serta pembuatan keputusan dalam MA.”

“Saya telah meminta Timbalan Presiden dan Majlis MA untuk memikul tanggungjawab penuh terhadap pentadbiran bagi memastikan kesinambungan, kestabilan, serta tadbir urus yang baik,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa cadangan pindaan perlembagaan tersebut perlu dikemukakan kepada WA terlebih dahulu untuk penelitian sebelum diserahkan bagi kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Tegasnya, keputusan itu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan demi kepentingan masa depan olahraga negara serta memastikan penjajaran tadbir urus dilakukan secara telus dan mematuhi perlembagaan.

Sebelum ini, kedudukan Datuk Karim sebagai Presiden MA mencetuskan kontroversi susulan penggantungan yang dikenakan terhadapnya oleh WA pada 2018, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Bagaimanapun, beliau tetap dibenarkan bertanding dan berkhidmat dalam Majlis Eksekutif Persatuan Olahraga Asia bagi penggal 2019-2023 meskipun selepas keputusan CAS tersebut.