Masters Malaysia: Tang Jie-Ee Wei tekad pamer aksi terbaik

Beregu campuran negara, Toh Ee Wei (kanan) dan Chen Tang Jie (kiri)./Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, bertekad mempamerkan aksi terbaik pada Kejohanan Masters Malaysia selepas tidak bergandingan pada edisi lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tang Jie dan Ee Wei akan memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan sokongan padu peminat.
  • Mereka berazam memberikan persembahan berkualiti dan meningkatkan prestasi setiap kali turun beraksi di hadapan penyokong.
  • Ee Wei teruja dapat menyertai semula kejohanan, komited memberikan aksi terbaik walaupun menghadapi tekanan sebagai juara dunia.

Tang Jie berkata, beliau bersama Ee Wei berazam memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, di samping menghadiahkan persembahan berkualiti kepada penyokong tempatan.

“Bermain di gelanggang sendiri memberikan kelebihan kepada kami. Sokongan padu peminat sentiasa menyuntik semangat dan kami amat menghargainya.

“Kami berharap dapat meningkatkan prestasi setiap kali turun beraksi di hadapan penyokong sendiri,” katanya selepas sidang media Masters Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.

Sementara itu, Ee Wei melahirkan rasa teruja apabila diberi peluang sekali lagi menyertai kejohanan berprestij itu serta berhasrat menghadiahkan aksi terbaik buat peminat.

“Kami sangat bersemangat untuk beraksi di laman sendiri dan akan memberikan sepenuh komitmen sepanjang kejohanan ini.

“Walaupun turun selaku juara dunia, tekanan tetap dirasai, namun kami menganggapnya sebagai cabaran untuk terus maju,” katanya. – BERNAMA