
LISBON, 6 Mei – Pemain sayap Argentina, Gianluca Prestianni, berdepan kemungkinan terlepas aksi awal Piala Dunia FIFA selepas badan induk bola sepak dunia, FIFA, melanjutkan hukuman penggantungan enam perlawanan terhadapnya ke peringkat global.
- UEFA mengambil tindakan terhadap Prestianni susulan dakwaan kata berunsur homofobia terhadap Vinicius Jr dalam playoff Liga Juara-Juara Februari.
- Jawatankuasa Tatatertib FIFA memperluaskan hukuman itu ke peringkat antarabangsa selaras Artikel 70 Kod Tatatertib FIFA.
- Pelanjutan hukuman boleh menyebabkan beliau terlepas dua perlawanan awal Argentina jika dipilih menyertai skuad kebangsaan.
- Penggantungan terpakai untuk pertandingan kelab anjuran UEFA dan aksi antarabangsa kompetitif, tidak merangkumi perlawanan persahabatan dan liga domestik.
Pemain SL Benfica itu dikenakan tindakan oleh UEFA susulan dakwaan melontarkan kata berunsur homofobia kepada bintang Real Madrid, Vinicius Jr, dalam aksi playoff Liga Juara-Juara Eropah pada Februari lalu yang memihak kepada kelab Sepanyol itu dengan kemenangan 1-0.
Menurut jurucakap FIFA, Jawatankuasa Tatatertib badan berkenaan memutuskan hukuman tersebut diperluaskan ke seluruh dunia selaras Artikel 70 Kod Tatatertib FIFA.
Pelanjutan yang dimohon UEFA itu menyebabkan pemain berusia 20 tahun berkenaan berisiko tidak beraksi dalam dua perlawanan awal Argentina sekiranya dipilih menyertai skuad kebangsaan.
Penggantungan itu melibatkan pertandingan kelab anjuran UEFA atau aksi antarabangsa kompetitif, namun tidak merangkumi perlawanan persahabatan serta liga domestik.
Sebelum ini, Prestianni sudah menjalani penggantungan sementara satu perlawanan apabila terlepas aksi timbal balik menentang Real Madrid.
Bagaimanapun, pengalaman antarabangsa pemain itu masih terhad dengan hanya satu penampilan bersama Argentina sebagai pemain gantian dalam perlawanan persahabatan menentang Angola pada November lalu.
Argentina dijadual memulakan kempen Piala Dunia pada 16 Jun menentang Algeria dalam Kumpulan J, sebelum berdepan Austria dan Jordan. – REUTERS