
ISKANDAR PUTERI, 6 Mei – Peluang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melangkah ke final dilihat semakin pudar selepas tewas 1-3 menentang Buriram United pada aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.
- Buriram United mendahului dua gol pada babak pertama melalui Guilherme Bissoli hasil hantaran Sasalak dan tandukan Goran Causic.
- Gol Buriram pada minit ke-54 dibatalkan kerana ofsaid.
- Ager Aketxe kurangkan defisit pada minit terakhir; Guilherme Bissoli kemudian mencetak gol masa kecederaan.
- JDT perlu menang dengan perbezaan sekurang-kurangnya tiga gol di tempat lawan minggu depan untuk terus berpeluang.
Kekalahan di laman sendiri itu meletakkan skuad Harimau Selatan dalam situasi sukar yang menuntut misi ‘mustahil’ apabila bertandang ke Stadium Buriram, Thailand bagi aksi timbal balik, 13 Mei ini.
Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Buriram United selesa mendahului dua gol pada babak pertama dengan jaringan pembukaan Guilherme Bissoli pada minit ke-33 hasil hantaran Sasalak Haiprakhon, sebelum Goran Causic menggandakan kedudukan menerusi tandukan pada minit akhir babak pertama.
Perlawanan separuh masa kedua berlangsung dalam situasi tegang yang menyaksikan pemain JDT Oscar Arribas serta dua pemain pasukan pelawat Supachai Chaided dan Kenneth Dougall dilayangkan kad kuning oleh pengadil, selain satu gol Buriram United dibatalkan kerana ofsaid pada minit ke-54.
Skuad bimbingan Xisco Munoz yang dilihat berkerja keras di hadapan penonton sendiri berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit terakhir perlawanan menerusi rembatan lencong Ager Aketxe tepat ke penjuru gawang pelawat.
Bagaimanapun, kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Bissoli mencetak gol kedua peribadi pada masa kecederaan, sekali gus memberikan kedudukan selesa buat Buriram United dengan 3-1.
Keputusan itu kekal hingga wisel penamat, menyaksikan JDT perlu menang dengan perbezaan sekurang-kurangnya tiga gol di tempat lawan minggu depan, jika mahu mengintai slot di pentas final.- BERNAMA