
KELANA JAYA, 6 Mei – Selangor FC semakin hampir untuk melakar sejarah apabila selangkah ke pentas akhir selepas menewaskan Nam Dinh FC 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup di Stadium MBPJ, malam tadi.
- Chrigor Flores Moraes menjaringkan dua gol penentu pada minit ke-36 dan ke-58.
- Benteng Selangor diketuai penjaga gol Sikh Izhan Nazrel kekal ampuh menangkis asakan pelawat.
- Aksi timbal balik di Stadium Thien Truong, Nam Dinh pada 13 Mei 2026 menjadi penentu layak ke peringkat akhir.
Dua jaringan penyerang import, Chrigor Flores Moraes, menjadi pemisah buat skuad Red Giants dalam misi memburu tiket akhir edisi kedua kejohanan itu.
Walaupun pasukan pelawat kendalian Vu Hong Viet lebih banyak menguasai permainan dengan siri percubaan berbahaya, benteng Selangor yang diketuai penjaga gol Sikh Izhan Nazrel kekal ampuh mengekang asakan lawan.
Selangor terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-36 menerusi penyudah tajam Chrigor Flores Moraes hasil lorongan cantik pertahanan Quentin Cheng, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah.
Namun, kealpaan di hujung babak pertama mengundang padah apabila Thep Xanh Nam Dinh berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Van Vi Nguyen pada minit-minit akhir separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Kim Pan-gon kembali menyusun rentak sebelum sekali lagi Chrigor muncul wira apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-58, sekali lagi hasil gandingan mantap bersama Quentin Cheng.
Keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat, memberikan kelebihan tipis buat Selangor FC menjelang aksi timbal balik.
Perlawanan kedua dijadual berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Vietnam pada 13 Mei 2026 bakal menjadi penentu sama ada Red Giants mampu mengesahkan tempat ke peringkat akhir Kejuaraan Kelab ASEAN.