Selangor FC bawa bekalan tipis ke Vietnam, aksi timbal balik dijangka sengit

Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon/Foto Bernama

KELANA JAYA, 7 Mei – Aksi dramatik separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup 2025/26 menyaksikan Selangor FC membawa kelebihan satu gol ke Vietnam selepas menewaskan Nam Dinh FC 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kim Pan-gon menegaskan perlu kukuh pertahanan dan bersedia hadapi tekanan tinggi lawan.
  • Selangor juga mampu menyerang melalui penyerang dan pemain sayap berkualiti.
  • Jurulatih Nam Dinh umum akan buat perubahan, fokus kepada pemain nombor 7 dan 91.

Kemenangan penting itu meletakkan skuad Red Giants selangkah ke pentas akhir, namun cabaran sebenar dijangka menanti dalam aksi timbal balik di gelanggang lawan yang terkenal dengan kelebihan tuan rumah.

Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui kelebihan satu gol itu belum menjamin apa-apa, apatah lagi apabila berdepan kekuatan Nam Dinh FC di laman sendiri.

Menurut beliau, anak buahnya perlu bersedia menghadapi tekanan tinggi daripada lawan yang dijangka tampil lebih agresif.

“Perlawanan ini akan sangat mencabar. Kami menjangkakan mereka akan menyerang, jadi kami perlu kukuh dari segi pertahanan. Namun, mereka juga perlu sedar bahawa kami mempunyai penyerang dan pemain sayap yang sangat baik. Kami juga mampu menyerang mereka. Harapnya, ia akan menjadi perlawanan yang menarik untuk para penyokong kami,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Nam Dinh FC, Vu Hong Viet memberi bayangan perubahan besar bakal dilakukan bagi aksi timbal balik nanti.

“Menjelang perlawanan, saya telah menekankan pemain nombor 7 dan nombor 91. Hari ini, kami gagal mengekang pemain nombor 91. Namun, dalam perlawanan kedua nanti, kami akan tampil lebih baik dan dia tidak akan menjaringkan gol lagi,” katanya.

Dengan hanya satu gol memisahkan kedua-dua pasukan, segala-galanya masih terbuka menjelang aksi timbal balik yang dijangka berlangsung penuh intensiti di Vietnam.