
ISKANDAR PUTERI, 6 Mei – Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat kemenangan ke atas Buriram United pada separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) tidak kesampaian
selepas tumpas 1-3 di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.
- JDT kini dalam situasi sukar; perlu menang dengan perbezaan sekurang-kurangnya tiga gol di tempat lawan untuk layak.
- Buriram membina kelebihan pada babak pertama melalui jaringan Guilherme Bissoli dan tandukan Goran Causic.
- Ager Aketxe mengecutkan defisit lewat, namun gol Bissoli pada masa kecederaan mengesahkan kelebihan pasukan pelawat.
Kekalahan di laman sendiri itu meletakkan skuad Harimau Selatan dalam situasi sukar yang menuntut misi sukar apabila bertandang ke Stadium Buriram, Thailand bagi aksi timbal balik, 13 Mei ini.
JDT yang turun dengan misi membawa bekalan selesa bermula garang dengan serangan bertali arus ke kubu kelab dari
Thailand itu.
Namun, Buriram United selesa mendahului dua gol pada babak pertama dengan jaringan pembukaan Guilherme Bissoli pada minit ke-33 hasil hantaran Sasalak Haiprakhon, sebelum Goran Causic menggandakan kedudukan menerusi tandukan pada minit akhir babak pertama.
Babak kedua bagaimanapun diwarnai ketegangan yang menyaksikan pemain JDT Oscar Arribas serta dua pemain pasukan pelawat Supachai Chaided dan Kenneth Dougall dilayangkan kad kuning oleh pengadil, selain satu gol Buriram United dibatalkan kerana ofsaid pada minit ke-54.
Skuad bimbingan Xisco Munoz yang dilihat berkerja keras di hadapan penonton sendiri berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit terakhir perlawanan menerusi rembatan lencong Ager Aketxe tepat ke penjuru gawang pelawat.
Bagaimanapun, kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Bissoli mencetak gol kedua peribadi pada masa kecederaan, sekali gus memberikan kedudukan selesa buat Buriram United dengan 3-1.
Keputusan itu kekal hingga wisel penamat, menyaksikan JDT perlu menang dengan perbezaan sekurang-kurangnya tiga gol di tempat lawan minggu depan, jika mahu mengintai slot di pentas akhir.
Sementara itu Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz yang kecewa demgan keputusan itu, masih berharap untuk bangkit mencipta kejutan di Thailand nanti.
“Kami perlu mempercayai diri sendiri dan berusaha memberikan yang terbaik pada aksi seterusnya. Kami juga perlu terus bersemangat dan ke Thailand untuk terus mencuba mengubah keadaan. Itu yang sedang saya fikirkan ketika ini, kami perlu yakin dengan kemampuan sendiri,” katanya.
Ketua Jurulatih Buriram United, Mark Jackson berkata, semua pemain
menunjukkan aksi terbaik dan berkualiti.
“Pemain saya menunjukkan disiplin tinggi sepanjang permainan dan sudah tentu gol pertama mengubah situasi perlawanan. Kami memang berusaha untuk menghasilkan gol seperti itu, dan pemain saya (Bissoli) sentiasa berlatih untuk menjaringkan gol sedemikian, dan malam ini beliau berjaya melakukannya. Saya berpendapat itulah faktor penentu keputusan,” katanya.
Perlawanan separuh akhir kedua Piala Shopee berlangsung 13 Mei di Chang Arena, Thailand.