Bayern tersungkur, PSG ke final Liga Juara-Juara

Pemain pertahanan PSG, Marquinhos meraikan kemenangan selepas perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara UEFA antara Bayern Munich dan PSG di Munich, Jerman selatan pada Rabu/ AFP

MUNICH, 7 Mei- Juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) melangkah ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas keputusan seri 1-1 menentang Bayern Munich di Stadium Allianz Arena di sini yang menyaksikan mereka menang agregat 6-5 pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ousmane Dembele meledak gol awal pada minit ketiga hasil serangan balas pantas.
  • Harry Kane menyamakan pada masa kecederaan, tetapi gol itu tidak cukup melayakkan Bayern.
  • PSG akan berdepan Arsenal pada final UCL di Budapest 30 Mei, memburu kejuaraan berturut-turut.

PSG bermula garang apabila penyerang Ballon d’Or, Ousmane Dembele meledak gol awal pada minit ketiga hasil serangan balas pantas untuk meletakkan pasukan pelawat di depan dalam perlawanan dan agregat.

PSG berjaya mengawal ancaman Bayern hampir sepanjang perlawanan sebelum penyerang Harry Kane menyamakan kedudukan pada masa kecederaan, namun ia tidak cukup untuk menghalang kemaraan juara bertahan itu.

“Ini perlawanan yang luar biasa, satu lagi malam magis di Munich menentang pasukan hebat,” kata pemain PSG, Desire Doue kepada Canal Plus.

“Ini jenis perlawanan yang kami impikan sejak kecil. Kini kami akan nikmati kejayaan ini sebagai satu pasukan,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan PSG akan menentang Arsenal pada final Liga Juara-Juara UEFA di Budapest pada 30 Mei ini, dengan skuad kendalian Luis Enrique itu kini memburu kejuaraan berturut-turut dalam saingan elit kelab Eropah.

Bayern Munich yang masih memburu final pertama sejak 2020, kecewa selepas gagal memanfaatkan penguasaan permainan walaupun mencipta beberapa peluang.

Ketua jurulatih Bayern, Vincent Kompany berkata pasukannya tewas dalam dua perlawanan yang sangat sengit.

“Saya tidak mampu untuk terlalu lama berasa kecewa. Pada akhirnya kami tewas dalam dua perlawanan yang sangat rapat menentang lawan yang kuat,” katanya. -AFP