
SYDNEY, 7 Mei- Larangan acara tontonan awam bagi perlawanan Piala Dunia 2026 melalui skrin besar di Federation Square, Melbourne dibatalkan oleh kerajaan negeri Victoria selepas menerima bantahan pelbagai pihak.
- Kerajaan Victoria membatalkan larangan tayangan awam Piala Dunia 2026 di Federation Square selepas menerima bantahan pelbagai pihak.
- Premier Jacinta Allan berkata beliau tidak setuju dengan keputusan asal dan membenarkan acara dengan kawalan keselamatan ketat serta tindakan tanpa toleransi terhadap salah laku.
- Melbourne Arts Precinct beralasan keselamatan susulan insiden penggunaan suar; Football Australia mengecam larangan kerana menafikan peluang tontonan bersama.
Premier Victoria, Jacinta Allan berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan pengurusan ruang awam berkenaan dan mengambil langkah membatalkan larangan tersebut.
“Saya tidak bersetuju dengan keputusan itu — dan saya membatalkannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata penganjuran acara tayangan umum dibenarkan dengan kawalan keselamatan yang ketat bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
“Risiko sentiasa ada, tetapi polis dan pasukan keselamatan akan berada di lokasi dan tiada toleransi terhadap sebarang salah laku,” katanya.
Terdahulu, Melbourne Arts Precinct memaklumkan larangan itu dibuat atas faktor keselamatan susulan insiden penggunaan suar oleh segelintir penyokong dalam acara terdahulu.
Bagaimanapun, Football Australia mengecam keputusan berkenaan yang disifatkan sebagai penafian peluang peminat untuk menyaksikan perlawanan secara bersama.
Acara tayangan umum Piala Dunia 2026 dijangka menarik kehadiran ramai penyokong di Melbourne apabila kejohanan itu bermula pada Jun ini. -AFP