E-sukan berpotensi jadi kerjaya dan sumber pendapatan pelajar IPT

(Foto kecil: Masturah Zainal)

KUALA LUMPUR, 7 Mei- E-sukan kini dilihat bukan lagi sekadar hobi, sebaliknya berkembang sebagai industri berpotensi yang mampu menjana pendapatan dan membuka peluang kerjaya kepada golongan muda, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sokongan Kementerian dan inisiatif sedia ada membolehkan pelajar memanfaatkan e-sukan sebagai sumber pendapatan masa depan.
  • E-sukan boleh dijadikan kerjaya dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk berkembang dalam industri berkaitan.
  • Ibu bapa dan masyarakat perlu seimbangkan penglibatan e-sukan supaya tidak menjejaskan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

Penasihat Fiesta E-sport Astar (Fiesta), Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya (UM), Masturah Zainal berkata perkembangan industri itu boleh diketengahkan secara profesional sekiranya dimanfaatkan dengan sebaiknya melalui sokongan pelbagai pihak termasuk inisiatif sedia ada.

“Apabila melihat inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pelbagai peruntukan yang disediakan, saya melihat pelajar mempunyai hobi yang boleh menjana pendapatan pada masa hadapan.

“Harapan saya, e-sukan ini bukan sahaja menjadi kerjaya, malah mampu memberi inspirasi kepada pelajar untuk berkembang dalam industri berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Masturah berkata keseimbangan perlu diberi perhatian melalui peranan ibu bapa dan masyarakat bagi memastikan penglibatan dalam e-sukan tidak menjejaskan akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

“Ibu bapa perlu membuka minda untuk menerima e-sukan sebagai peluang baharu. Kehadiran teknologi menjadikan bidang ini berkembang, malah di luar negara industri ini telah lama diperkasakan dan mampu pergi lebih jauh,” katanya.