
BAYAN LEPAS, 6 Mei – Seramai 1,221 jemaah haji dari Pulau Pinang dijadualkan berangkat ke Tanah Suci bagi musim haji 1447 Hijrah.
- Stesen Bayan Lepas berfungsi sebagai hab pelepasan bagi 1,704 jemaah haji zon Utara termasuk Pulau Pinang, Kedah Selatan dan Perak Utara.
- Operasi penerbangan dijalankan 4 hingga 11 Mei, disambung 15 dan 16 Mei, melibatkan keseluruhan 12 penerbangan khas.
- Semua jemaah dari Stesen Bayan Lepas perlu memakai pakaian ihram siap dan disarankan menukar pakaian sebelum berlepas.
Daripada jumlah itu, kira-kira 25 peratus jemaah telah pun berlepas menerusi tiga penerbangan awal dari Stesen Bayan Lepas.
Pengarah Lembaga Tabung Haji Pulau Pinang, Haji Fisol Nayan berkata, Stesen Bayan Lepas kini berfungsi sebagai hab pelepasan bagi 1,704 jemaah haji zon Utara yang merangkumi Pulau Pinang, Kedah Selatan dan Perak Utara.
Menurut beliau, operasi penerbangan bermula 4 hingga 11 Mei sebelum disambung semula pada 15 dan 16 Mei, melibatkan keseluruhan 12 penerbangan khas (KT).
“Semua jemaah dari Stesen Bayan Lepas akan terus berlepas ke Jeddah. Oleh itu, mereka perlu memakai pakaian ihram siap dari sini dan disarankan menukar pakaian sebelum berlepas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada jemaah haji bagi penerbangan ketiga negeri Pulau Pinang di Dewan Seri Mutiara, Raia Inn.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.
Dalam pada itu, keberangkatan musim ini turut melibatkan penyertaan golongan profesional muda.
Seorang bakal jemaah, Siti Asia Samsudin, 35 tahun, menyifatkan peluang menunaikan haji bersama empat adik-beradiknya sebagai satu rezeki besar yang memudahkan urusan ibadah serta penjagaan kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.
Selain itu, golongan warga emas turut meluahkan rasa syukur selepas sekian lama menunggu giliran untuk menunaikan rukun Islam kelima, dengan harapan dapat melaksanakan ibadah dengan lancar.
Seorang lagi bakal jemaah, Mohd Subri Ghazali, menyatakan keyakinan terhadap pengurusan Tabung Haji yang disifatkan cekap dalam membimbing jemaah sepanjang perjalanan ibadah.
Sementara itu, Syarifah Abu Bakar pula meluahkan rasa terharu apabila dapat menunaikan haji bersama anak bongsunya, selain menghargai sokongan serta bantuan yang diberikan oleh pihak Tabung Haji.