Dara, Amoi dan Kelat sihat di Zoo Tennoji, dipantau secara berkala

Sebahagian gajah yang terdapat di Zoo Taiping & Night Safari. Gambar Fail / BERNAMA

TAIPING, 6 Mei – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memberi jaminan kebajikan tiga ekor gajah Malaysia yang dipindahkan ke Jepun berada dalam keadaan baik dan dipantau secara rapi, susulan kebimbangan yang dibangkitkan orang awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dara, Amoi dan Kelat ditempatkan di Zoo Tennoji di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa 25 tahun dimeterai pada 2022.
  • Pemantauan terkini menunjukkan ketiga-tiga gajah sihat dengan peningkatan berat badan, mencerminkan penjagaan dan pemakanan baik.
  • Pemantauan berterusan oleh pakar veterinar, habitat mencukupi, program pengayaan disediakan; laporan mingguan rasmi akan dikongsi kepada umum.

MPT dalam satu kenyataan memaklumkan, penjelasan itu dibuat selepas berlangsungnya demonstrasi aman serta penyerahan memorandum “Kembalikan DAK” oleh Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara.

Menurut MPT, pihaknya menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan secara tertib selaras dengan peruntukan undang-undang.

Tiga ekor gajah berkenaan, Dara, Amoi dan Kelat kini ditempatkan di Zoo Tennoji di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa selama 25 tahun yang dimeterai pada tahun 2022.

Jelas kenyataan itu, program pemindahan haiwan seperti ini merupakan amalan biasa dalam kalangan zoo di seluruh dunia bagi tujuan konservasi, pembiakan dan penyelidikan.

“Hasil pemantauan terkini mendapati ketiga-tiga gajah berada dalam keadaan sihat dengan peningkatan berat badan yang konsisten,” menurut kenyataan itu.

Kelat merekodkan pertambahan berat sebanyak 440 kilogram (kg), diikuti Dara (215 kg) dan Amoi (200 kg).

Perkembangan tersebut mencerminkan tahap penjagaan, pemakanan dan kesihatan haiwan yang baik serta mematuhi piawaian antarabangsa.

MPT turut memaklumkan pemantauan dilakukan secara berterusan meliputi aspek kesihatan, tingkah laku dan persekitaran habitat, selain dikendalikan oleh pakar veterinar serta penjaga haiwan berpengalaman.

Kemudahan yang disediakan termasuk ruang habitat yang mencukupi serta program pengayaan bagi merangsang tingkah laku semula jadi haiwan.

Sebagai langkah ketelusan, laporan berkala mingguan mengenai keadaan ketiga-tiga gajah itu akan dikongsikan kepada umum berdasarkan maklumat rasmi daripada Zoo Tennoji.